Nation
269

Hujan lebat, angin kencang sebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan

Ipoh – Hujan lebat dan angin kencang yang melanda lewat petang hingga malam semalam menyebabkan insiden pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri Perak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai pokok tumbang di beberapa lokasi di Ipoh, Kampar, Seri Manjung, Pantai Remis dan Teluk Intan pada kira-kira pukul 6.30 petang hingga 11 malam.

“Di Ipoh, pokok tumbang merintangi jalan di Taman Rapat Setia, Balai Polis Buntong, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Jelapang, Taman Perpaduan dan Persiaran Pulai Baru.

“Kami turut menerima panggilan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di Persiaran Agasia 1, Kampar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata insiden pokok tumbang yang merintangi jalan turut dilaporkan berlaku di Jalan Lumut dan Kampung Cina serta Jalan Teluk Senangin di Seri Manjung dan Pekan Langkap di Teluk Intan.

Katanya pihak bomba telah menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok yang tumbang dan mengalihkan ke tempat yang selamat.

“Operasi turut melibatkan pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, pihak majlis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu