Nation
307
0

i-Sinar: Ada tarik nafas lega tetapi ada yang masih keliru

Kuala Lumpur – Suri rumah, pemandu bas sekolah, kru filem dan pekerja hotel kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dinyatakan sebagai antara kategori yang bakal mendapat kelulusan secara automatik program i-Sinar, bermula pertengahan bulan ini.

Ini susulan kategori itu turut dipaparkan laman sosial Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas institusi tersebut membuat pengumuman berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar, Rabu lepas.

Seorang suri rumah Kamilia Mohd, 28, berkata kelulusan secara automatik itu akan memudahkannya kerana tidak perlu berhadapan prosedur yang melecehkan untuk membuat pengeluaran caruman KWSP.

“Suami bekerja sendiri dan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac lepas pendapatan memang agak terjejas kerana pada waktu itu dia tidak boleh keluar untuk berniaga dan sekarang pun pendapatannya tidak serancak sebelum ini.

“Jadi apabila ada program i-Sinar dan sebagai suri rumah, walaupun saya tidak lagi mencarum hampir 10 tahun, agak memudahkan kerana tidak perlu melalui prosedur yang melecehkan,” katanya kepada Bernama.

Pemandu van sekolah Noria Rashid, 45, pula menyifatkan pengeluaran wang yang akan diluluskan secara automatik kepada pemandu van dan bas sekolah yang menjadi ahli KWSP sepertinya, secara tidak langsung memberi sedikit harapan kepada kumpulan pekerjaan yang sangat terjejas pendapatan.

Noria berkata buat masa ini dia terpaksa menjual aiskrim Malaysia sebagai sumber pendapatan alternatif susulan penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak 14 Okt lepas.

“Saya tahu program i-Sinar, tetapi tidak tahu kami sebagai pemandu van dan bas sekolah boleh dapat secara automatik, jika benar insya-Allah kami akan memohon.

“Adanya sedikit duit (KWSP) dapatlah kami bernafas buat sementara sebelum sekolah dapat dibuka dan perkhidmatan kami beroperasi semula,” katanya.

Ayuni Zamani, 36, seorang penulis skrip bebas turut senada dan menyifatkan program itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang perlu melunaskan beberapa komitmen yang tertangguh sebelum ini.

Katanya walaupun jumlah caruman KWSP yang boleh dikeluarkan tidak besar, sedikit- sebanyak dapat membantu ketika keadaan industri perfileman dan drama tempatan terjejas oleh COVID-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pejabat KWSP di ibu negara mendapati kebanyakan pencarum yang ditemui memilih berjumpa pegawai KWSP bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kemudahan pengeluaran caruman daripada Akaun 1.

Mereka berpandangan bertemu pegawai KWSP bukan sahaja membolehkan mereka mendapat maklumat terperinci tetapi juga mengelakkan kekeliruan berhubung kemudahan berkenaan memandangkan ada dakwaan proses pengeluaran merumitkan.

Zahari Shamsudin, 36, seorang peniaga yang juga pencarum kategori 1 i-Sinar, meluahkan rasa lega dengan penjelasan pegawai KWSP berhubung proses dan maklumat lebih terperinci pengeluaran carumannya.

“Baca di media sosial banyak sangat maklumat yang kadang-kadang mengelirukan, jadi saya datang ke pejabat KWSP berbincang dengan pegawai untuk maklumat lanjut,” katanya.

Tidak terkecuali penghantar makanan Amirul Amir Ismail, 30, yang hadir di pejabat KWSP untuk mengetahui sama ada dia layak memohon pengeluaran hingga RM10,000 program itu.

Bekas petugas sektor perhotelan itu berkata kemudahan pengeluaran caruman berkenaan membantu meringankan bebannya yang kini terpaksa menjadi penghantar makanan selepas diberhentikan kerja Julai lepas.

“Bila berjumpa dengan petugas KWSP, selain beri maklumat, mereka juga beri saranan pengurusan wang yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Mohd Nasrul Naim, 39, pula berpendapat KWSP seharusnya menggunakan pendekatan mudah dengan menyenaraikan semua kategori yang layak serta diberikan kelulusan automatik kerana rata-rata pencarum masih keliru dengan pelaksanaan program yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

“Bila tiada penerangan, pencarum juga keliru dan akhirnya terpaksa ke pejabat KWSP untuk dapatkan kepastian, ini menyulitkan keadaan bukan sahaja pencarum tetapi juga kepada pihak KWSP,’’ kata pemilik kedai makan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 28 Nov lepas mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak dengan jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM90,000 dalam Akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu