Social
1K
0

Ibu bapa bunuh dua anak angkara ilmu hitam

Hyderabad – Seolah-olah dirasuk syaitan, seorang ibu sanggup menghentak mati dua anak gadisnya atas nasihat pengamal ilmu hitam.

Lebih menyayat hati, bapa gadis berusia 20-an itu hanya menyaksikan anaknya dibunuh di depan mata.

Gulf News melaporkan, kejadian mengejutkan itu berlaku di kampung Ankieshettypalle di daerah Chittoor di Andhra Pradesh, Ahad lalu.

Polis tiba ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat orang ramai.

Polis mengenal pasti mangsa sebagai Alekhya, 27, dan adiknya, Sai Divya, 22.

Polis mengatakan selepas pembunuhan, bapa gadis itu memberitahu rakannya melalui telefon mengenai kejadian sebelum melaporkan kepada polis.

Polis menahan ibu bapa mangsa dan menemui senjata digunakan iaitu tombak bermata tiga dan dumbel (alat senaman).

Polis mengesahkan mereka menghantar pasangan itu untuk pemeriksaan perubatan bagi memastikan keadaan mental mereka.

Ibu dua gadis malang itu bekerja sebagai pengetua sekolah, manakala bapanya profesor madya di sebuah kolej.

Kedua-dua gadis itu ditemui berlumuran darah dan dibawa ke hospital kerajaan di Madanapalle.

Polis turut menemui beberapa tanda ritual keagamaan di rumah itu yang menunjukkan pembunuhan kejam berkaitan kepercayaan karut.

Difahamkan, Alekhya menamatkan Sarjana Pengurusan Perniagaan dan bekerja di sebuah institusi pengurusan hutan di Bhopal, manakala adiknya menamatkan pengajiannya dalam Pentadbiran Perniagaan serta belajar muzik di Akademi Muzik AR Rahman di Chennai.

Kedua-dua mangsa pulang ke rumah untuk melawat keluarga.

Deputi Superintendan Polis Ravi Manohara Chary yang mengetuai siasatan mengatakan polis menyiasat terperinci kejadian itu.

“Kami lihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti semua orang yang mengunjungi rumah itu sejak beberapa hari terakhir untuk mengetahui motif pembunuhan,” katanya.

Soal siasat mendapati ibu mangsa mendakwa anak gadisnya akan ‘kembali’ pada waktu pagi.

Pegawai polis menyifatkan keadaan suspek seperti mengalami delusi.

Walaupun Padmaja menegaskan dia sendiri melakukan perbuatan itu tanpa nasihat sesiapa, polis berusaha mencari mereka yang mengunjungi rumah itu untuk melakukan ritual berkenaan, sejak beberapa hari lalu. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu