Kuala Lumpur Post

Social

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa hari ini

PETALING JAYA —  Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autism akan didakwa di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Perkara itu disahkan peguam mewakili bapa kanak-kanak itu, Fahmi Abd Moin ketika dihubungi hari ini.

“Ya, ada tuduhan ke atas kedua-dua anak guam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau belum dapat mengesahkan intipati pertuduhan yang bakal dihadapi suami isteri itu.

Untuk rekod, reman terhadap suami isteri itu tidak akan disambung lagi selepas direman 13 hari berakhir hari ini.

Terdahulu, pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei lalu sebelum direman tujuh hari hingga 7 Jun lalu.

Pada 7 Jun lalu, kedua-duanya telah disambung reman enam hari lagi dan tempoh reman tamat hari ini.

Semalam, pegawai penyiasat polis membawa ibu Zayn Rayyan Abdul Matiiin ke Mahkamah Majistret untuk memohon bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme berkenaan.

Peguam bela wanita itu, Mahmud Jumaat, dipetik berkata pihaknya membantah permohonan terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.