Kuala Lumpur Post

Social

Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan polis

PETALING JAYA — Polis menahan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan mati dibunuh dalam kejadian di Damansara Damai, Disember lalu.

Menurut laporan Harian Metro, pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan di Puncak Alam pada pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan yang dihubungi Harian Metro mengesahkan penahanan pasangan berkenaan.

Beliau berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini untuk permohonan reman.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.