Kuala Lumpur Post

Social

Ibu mengaku beri bayi minum susu campur dadah

PETALING JAYA — Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka dengan memberi air susu bercampur dadah merbahaya jenis Methamphetamine pada 19 Februari lalu.

Tertuduh, Nabila Huda Fadli, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh manakala suaminya, Sofian Mustapa Zain, 40, mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan bersama, mereka didapati melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki berusia satu tahun empat bulan dengan memberi minum susu bercampur air yang mengandungi dadah merbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan mangsa mengalami ‘allegedsympathomimetic drug ingestion’.

Kesalahan dilakukan 19 Februari lalu kira-kira jam 6 petang di Blok F, Apartment Medan Jaya, Taman Medan, Petaling Jaya.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31 (1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi kes.

Dalam rayuannya, Nabila Huda memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tidak bekerja selain perlu menjaga ibu dan tiga anaknya.

Sofian pula memberitahu mahkamah, tidak bekerja tetap serta perlu menanggung keluarga yang lain.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin RM5,000 seorang berserta syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan.

Dr Syahliza juga menetapkan 13 Mac depan untuk fakta dan jatuh hukum bagi Nabila Huda manakala lantikan peguam dan pengurusan kes untuk Sofian.

Suami isteri itu sebelum ini ditahan selepas tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air mengandungi dadah di sebuah flat di Taman Medan, pada 19 Februari lalu.

Bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu difahamkan dihantar kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal sebelum si nenek bertanyakan mengenai perkara itu kepada ibu mangsa.

Ibu mangsa kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi malang ini menggunakan air syabu milik suaminya.