Social
378

Ibu Neelofa beri keterangan 2 jam

Shah Alam – Polis Selangor telah memanggil ibu kepada usahawan dan selebriti popular, Neelofa bagi mengambil keterangan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui laman sosial Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, Datin Noor Kartini Mohamed hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pukul 10 pagi tadi.

“Kita telah selesai mengambil keterangan daripada ibu selebriti terbabit pagi tadi.

“Setakat ini, siasatan akan diteruskan dan akan memanggil beberapa lagi saksi lain selepas ini bagi proses seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, Noor Kartini memberi keterangan selama dua jam bermula 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Semalam, Nik Ezanee memaklumkan pihaknya telah mengambil alih siasatan berhubung kes tersebut yang sebelum ini disiasat polis Kuala Lumpur susulan mendapati insiden itu berlaku di Selangor.

Polis memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman sosial Instagram milik Noor Kartini selepas laporan diterima polis dibuat pemilik akaun berkenaan kira-kira pukul 5.44 petang semalam.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati hantaran yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar itu dimuat naik wanita berusia 32 tahun dipercayai pengurus media sosial syarikat milik Noor Kartina.

Individu terbabit dikatakan tersilap menggunakan akaun Instagram milik ibu Neelofa dengan membuat hantaran melalui medium ‘IG Story’.

Susulan itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. – Utusan Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu