Social
428

Ibu tergamak halau anak dari rumah selepas terima suntikan vaksin Covid-19

London – Seorang ibu berfahaman antivaksin tergamak menghalau anaknya keluar dari rumah selepas remaja itu memberitahu dia telah menerima suntikan vaksin Covid-19, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, remaja tersebut, Nick James merakam reaksi ibunya ketika dia memberitahu perkara tersebut.

Ibunya naik berang kerana pernah melarang anaknya menerima vaksinasi sebelum ini.

“Apa tindakan ibu jika saya beritahu yang saya baru saja menerima suntikan dos pertama?” soal James kepada ibunya dalam video tersebut.

“Jangan buat begitu sebab saya akan marah kamu,” jawab ibunya.

James kemudiannya memberitahu ibunya bahawa dia tidak akan berpeluang melancong sekiranya tidak menerima suntikan vaksinasi.

“Adakah kamu sudah mendapatkan suntikan? Keluar (dari rumah) jika sudah,” herdik ibunya.

James yang seolah-olah tidak mempercayai kata-kata ibunya cuba mendapatkan kepastian mengenai sama ada dia dihalau dari rumah itu.

“Ya. Saya amat marah dengan kamu. Saya sudah beritahu jangan mengambil suntikan,” tegas ibunya sebelum video tersebut terhenti begitu sahaja.

Klip video itu setakat ini telah mendapat lebih 60,000 tanda suka dan 6,000 komen dengan ramai netizen menyokong tindakan James.

“Tahniah kerana cuba untuk melindungi diri dan melindungi ibu anda walaupun dia enggan melakukannya. Satu sikap yang bagus,” komen seorang pengguna.

“Agak kelakar apabila generasi muda selama ini sering dikaitkan dengan golongan yang pentingkan diri dan kini, mereka yang bergegas untuk menerima suntikan vaksin,” tulis seorang lagi pengguna.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu