SERDANG — Identiti lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun dekat anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan semalam dikenal pasti sebagai warga Indonesia.
Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan berkata, mangsa ditemui lemas ialah anak sulung pasangan itu berusia 10 tahun, manakala ibunya berusia 38 tahun dan adik perempuan bongsunya berusia 4 tahun masih hilang.
Katanya, mangsa selamat ialah bapanya, 40, dan seorang lagi adik lelakinya berusia sembilan tahun.
“Menurut bapanya, ketika kejadian, mereka sekeluarga ke kawasan berkenaan untuk menjala ikan bagi mendapatkan pendapatan tambahan, namun kira-kira 5 petang, datang air deras dari saliran monsun berhampiran menyebabkan mereka dihanyutkan hingga ke anak sungai berkedalaman 1.2m.
“Bagaimanapun, lelaki itu dapat menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan, manakala anak keduanya sempat menyelamatkan diri dengan naik ke sebelah kanan longkang berhampiran sebelum ditemui orang awam pada 5.30 petang,” katanya di lokasi kejadian malam tadi.
Anbalagan berkata, mayat anak sulung pasangan itu ditemui 1km dari lokasi mereka terjatuh, sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa hilang sedang dilakukan.
Siasatan awal polis mendapati lelaki warga Indonesia itu bermastautin di Malaysia hampir 10 tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk tukang paip untuk menyara hidup.
“Lelaki itu memaklumkan sudah beberapa kali ke lokasi kejadian untuk memancing dan hasil tangkapan akan dijual bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan.”
Beliau berkata, lokasi kejadian bukan tempat memancing, namun ada individu ke sana menangkap ikan untuk dijual.
“Lelaki terbabit cedera sedikit akibat terkena pokok, namun tidak serius, manakala anaknya yang terselamat tidak mengalami kecederaan.”