Social
174

Iklan judi raya: 4 lagi pelakon ditahan

Kuala Lumpur – Polis menahan empat individu dipercayai menjadi pelakon dalam video terbaru iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua pelakon terbabit ditahan petang semalam di Ampang.

“Empat individu terbabit kini direman dua hari bermula hari ini hingga esok.

“Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi tular di media sosial.

Video itu tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan dan nyanyian seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.

Susulan itu, polis kini sedang mengesan lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian itu.

Lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe itu beralamat terakhir di Kuala Lumpur. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu