Social
156

Imigresen buru 21,378 pekerja asing guna sindiket PLKS palsu

Kuala Lumpur – Jabatan Imigresen Malaysia sedang memburu dan mengesan seramai 21,378 pekerja asing yang disyaki menggunakan khidmat sindiket yang mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sejak tahun lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kesemua pekerja asing berkenaan melibatkan pelbagai sektor termasuk perladangan, perkilangan dan perkhidmatan pembersihan dan beberapa warga Bangladesh telah ditahan tahun lepas kerana menjual PLKS palsu.

“Setakat ini, sindiket yang aktif sejak beberapa tahun lalu itu didapati tidak membabitkan negara (ejen sah) pembekal warga asing. Mereka yang membeli pas itu ada dalam kalangan individu dan majikan.

Data pekerja asing ada dalam sistem. Sekiranya kami mendapati mereka menjual PLKS (palsu), mereka akan ditahan dan diusir keluar dari negara ini selepas melalui proses tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Hack-Sindiket Godam Sistem di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain itu, Khairul Dzaimee berkata kerajaan mengalami kerugian levi sebanyak RM4.7 juta berdasarkan bayaran antara RM600 hingga RM1,600 yang dikenakan ke atas setiap PLKS yang sah, bergantung kepada jenis sektor pekerjaan.

Beliau berkata walaupun sindiket ini berjaya menggodam sistem PLKS jabatan imigresen namun mereka gagal menukar status senarai hitam mana-mana warga asing yang sudah diharamkan memasuki negara ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata jumlah nilai keseluruhan sitaan daripada sindiket berkenaan ialah RM25.5 juta merangkumi wang tunai, kereta dan 34 jam tangan mewah pelbagai jenama serta rumah .

Beliau berkata SPRM juga menyita pelbagai peralatan elektronik dipercayai digunakan untuk memproses PLKS palsu.

Ditanya sama ada pihaknya akan membuat penahanan baharu berhubung sindiket ini, Azam berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan namun ia berdasarkan petunjuk baharu dalam siasatan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu