Social
196

Individu alih pengadang jalan dikesan polis

Kuala Terengganu – Polis sedang giat mengesan individu mengalihkan konkrit pengadang jalan yang dipasang di laluan alternatif susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 mukim, di sini, sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata pihaknya mengesan tiga laluan terbabit diceroboh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan merentasi halangan berkenaan.

Beliau berkata, ia membabitkan laluan susur keluar Kampung Jeram (sempadan Kuala Terengganu-Kuala Nerus), Kampung Tiruk (sempadan Hulu Terengganu) dan Jalan Surau Haji Yaacob (sempadan Marang).

“Kita percaya individu terbabit mengalihkan pengadang itu untuk keluar ke daerah Kuala Nerus menggunakan laluan alternatif, dari kawasan daerah Kuala Terengganu yang sedang dikenakan PKPD.

“Mereka dipercayai menunggang motosikal kerana batu dialihkan itu boleh muat untuk laluan motosikal saja.

“Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan batu halangan yang dipasang di susur keluar Kampung Jeram, Manir.

“Polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di laluan susur keluar Kampung Jeram, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, sembilan sekatan jalan raya diadakan di laluan utama sekitar bandar raya ini bagi mengawal pergerakan penduduk 21 mukim terbabit.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya menutup 10 laluan alternatif, termasuk lorong tikus, bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk orang ramai tanpa kebenaran. – BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu