Nation
107

Individu berisiko tinggi Covid-19 digesa tidak kunjungi bazar Ramadan

Johor Bahru – Individu dalam kategori berisiko tinggi dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 diminta agar tidak berkunjung ke mana-mana Bazar Ramadan bagi mengelakkan berlakunya penularan di tapak niaga berkenaan.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud berkata golongan itu harus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya kes tidak terus meningkat.

“Kita tahu bahawa para peniaga sangat mematuhi SOP yang ditetapkan tetapi untuk para pengunjung walaupun kita sudah ketatkan SOP tetapi kita tidak tahu pengunjung datang daripada mana.

“Jadi sesiapa yang dalam kategori risiko tinggi ini, saya minta jangan pergi ke mana-mana. Duduk di rumah kerana yang menjadi mangsa keadaan nanti adalah peniaga,” katanya kepada pemberita pada Program Bubur Lambuk Southern Volunteers Grab Your Bubur di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Beliau mengingatkan demikian susulan langkah kerajaan menutup empat Bazar Ramadan di Johor bermula hari ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas tapak perniagaan itu dikunjungi individu disyaki positif COVID-19.

Penutupan itu melibatkan Bazar Ramadan Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching dan Bazar Ramadan @Mart Kempas di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Bazar Ramadan Belatuk, Taman Scientex di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Bazar Ramadan Lok Heng dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.

Adib memberitahu orang ramai boleh memilih untuk pergi ke bazar yang kurang dikunjungi bagi mungurangkan risiko jangkitan. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu