Social
343
0

Individu dihukum gantung sampai mati bukan pesara Paskal

Kuala Lumpur – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan individu yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan semalam atas kesalahan membunuh wanita warga emas, bukan pesara Pasukan Khas Laut (Paskal).

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan semalam memaklumkan, individu yang didapati bersalah membunuh warga emas tiga tahun lepas itu cuma pernah menyertai kursus Paskal pada Julai 1995, namun gagal menamatkan kursus berkenaan.

Menurut kenyataan TLDM itu lelaki berkenaan diberhentikan daripada perkhidmatan TLDM pada April 1997, selepas hanya dua tahun berkhidmat kerana masalah disiplin.

TLDM mengeluarkan kenyataan berkenaan susulan laporan akhbar tempatan hari ini menggunakan tajuk berita yang dianggap sensasi dan boleh menjejaskan serta mencalar imej bekas warga TLDM dan Paskal.

Semalam media melaporkan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman terhadap Zarmayade Abdullah, 44, selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Zarmayade didakwa membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada dekat Kuala Krai antara jam 11 pagi hingga 6 petang pada 12 April 2017. — Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu