Nation
285
0

Individu ingkar arahan PKP meningkat semalam – Ismail Sabri

Kuala Lumpur – Jumlah individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus meningkat kepada 249 orang semalam berbanding 170 pada Khamis, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 248 telah dikompaun dan seorang individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (132), tidak memakai pelitup muka (63) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (54),” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan PKP.

Ismail Sabri berkata Operasi Benteng semalam turut menahan 46 pendatang tanpa izin, dua tekong serta merampas lapan kenderaan darat selain melaksanakan 118 sekatan jalan raya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram selain agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kesemua 12 tapak binaan di seluruh negara yang diperiksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sementara itu, seramai 88,827 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam dan ditempatkan di 73 hotel serta 16 Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 8,357 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 79,938 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 594 premis perniagaan termasuk peruncit (438), pemborong (127) dan pengilang (29).

Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi. katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu