Nation
93

Individu sebar maklumat salah vaksin Covid-19 boleh didakwa

Kuala Lumpur – Individu yang menyebarkan kenyataan mengelirukan mengenai suntikan vaksin COVID-19 boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima sebarang laporan polis berhubung isu itu.

“Bagaimanapun, setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara terbabit.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, mereka yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semalam, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama yang menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Bagaimanapun, terdapat kelompok antivaksin dikesan melobi masyarakat untuk menentang program itu dengan pelbagai maklumat salah, alasan tidak munasabah dan bertentangan dengan ilmu sains. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu