Nation
140

Ingkar SOP : Kertas siasatan MB Kedah diserah ke Bukit Aman

Bukit Mertajam – Kertas siasatan kes Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) apabila mengunjungi pusat pameran kenderaan di Autocity, Juru, di sini, Sabtu lalu sudah diserahkan ke Bukit Aman.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, siasatan di peringkat polis Pulau Pinang berhubung perkara itu sudah selesai.

“Kita sudah menyerahkan kertas siasatan kes berkenaan ke Bukit Aman untuk tindakan seterusnya sebelum ia dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Difahamkan, semua kes membabitkan penjawat awam akan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Pada Isnin lalu, polis merekodkan keterangan Muhammad Sanusi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selain itu, polis turut mengambil keterangan pengurus pusat pameran kenderaan, jurujual dan wanita yang mengambil video kejadian bersama suaminya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video memaparkan Muhammad Sanusi ke pusat pameran kenderaan itu dipercayai untuk memandu uji pacuan empat roda selepas dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook.

Tindakan itu mendatangkan kecaman netizen apabila menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) ketika ini. — Harian Metro

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu