Nation
242

Ingkar SOP : KSM keluar 159 kompaun bernilai RM1.49 juta

Georgetown – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengeluarkan 159 kompaun bernilai RM1.49 juta kepada majikan yang ingkar di seluruh negara sejak 16 Jun lepas hingga semalam iaitu ketika pelaksanaan tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata kompaun itu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk majikan yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

“Kompaun itu dikenakan menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan ia dikeluarkan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan sepanjang tiga minggu pelaksanaan PKP 3.0 tersebut.

“Sepanjang tempoh yang sama, kami telah menjalankan pemeriksaan di 1,585 premis pekerjaan di seluruh negara dengan 129 premis daripadanya dijalankan di Pulau Pinang membabitkan empat kompaun bernilai RM40,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyertai operasi pemantauan pematuhan Akta 342 dan Akta 514 dalam sektor pembuatan di kawasan perindustrian Bayan Lepas, di sini hari ini.

Awang berkata berdasarkan statistik jumlah kompaun yang dikeluarkan menerusi operasi yang dijalankan sepanjang tempoh tersebut, majikan di sektor perkilangan didapati paling tinggi gagal memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka dengan 123 kes.

Ini diikuti dengan sektor pembinaan sebanyak 18 kes, perkhidmatan perniagaan (4 kes), masing-masing tiga kes di sektor penyimpanan, pengangkutan dan perdagangan borong serta satu kes melibatkan kewangan, pengkuarian, pertanian, perkhdimatan kebersihan dan kemudahan gas.

“Kami mengambil pelbagai pendekatan dalam menguatkuasakan Akta 342 ini antaranya menerusi siasatan aduan yang diterima daripada aplikasi ‘Working for Workers’ (WFW), aduan yang diterima oleh JKKP dan menerusi operasi terancang terutama dalam sektor perkilangan,” katanya.

Beliau berkata kesalahan paling tinggi yang dikenakan kompaun pula adalah majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dalam sektor perkhidmatan perlu seperti dalam kebenaran surat yang dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan iaitu sebanyak 96 kes.

“Kami ingin menegaskan bahawa semua pihak tidak kira majikan, pekerja atau orang awam hendaklah terus kekal patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKP terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa malah majikan juga disarankan untuk melaksanakan pendekatan bekerja dari rumah mengikut ketetapan sepanjang pelaksanaan tempoh PKP, ” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu