Nation
444

Inisiatif berkaitan buruh terus ditambah baik : KSM

Putrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KSM) terus memberi perhatian terhadap isu perburuhan khususnya melibatkan pekerja asing selain melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap inisiatif sedia ada, kata Menterinya Datuk Seri M. Saravanan.

Memandang serius isu dibangkitkan dalam Laporan Tahunan 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan manusia, Saravanan berkata KSM antara lain akan mengkaji semula isu berkaitan kos dikenakan oleh agensi pekerjaan swasta serta menyemak semula memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan negara-negara sumber.

Menurut Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia berada pada Tahap Tiga iaitu tahap paling rendah dan menyebut kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum dan tidak melakukan usaha signifikan bagi memerangi jenayah pemerdagangan manusia.

Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata KSM akan mengkaji semula isu berkaitan kos yang dikenakan agensi pekerjaan swasta sekiranya terdapat kos tersembunyi membebankan pekerja mahupun majikan sehingga menjurus kepada elemen eksploitasi dan perhambaan hutang.

Beliau berkata memorandum persefahaman yang telah dan akan ditandatangani dengan negara-negara sumber juga disemak semula bagi memperkasakan elemen perlindungan hak golongan pekerja dan dalam masa sama, tidak membebankan majikan.

Saravanan berkata KSM juga berkolaborasi dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi membangunkan satu pelan tindakan nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun ini.

KSM sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa, katanya, lapor Bernama.

Mengakui isu perburuhan menjadi amat kompleks berikutan pandemik COVID-19, Saravanan berkata penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) juga diperketatkan seiring dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 untuk meningkatkan jumlah sabitan berkaitan isu buruh paksa.

Bagi membela kebajikan pekerja, beliau berkata majikan yang menggaji pekerja domestik, diwajibkan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula pertengahan tahun ini dan KSM juga akan memperhalusi aspek sama ada pekerja domestik perlu dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.

Mengenai aplikasi Working for Workers (WFW) yang dilancarkan Mei lepas, Saravanan berkata sehingga 4 Julai, sebanyak 4,636 aduan diterima dengan 3,502 aduan telah disiasat dan diambil tindakan

“Maklumat daripada aduan yang diterima ini juga telah membantu pihak penguat kuasa KSM untuk menyiasat dakwaan kes buruh paksa,” katanya.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu