Nation
122

Insentif 80% bagi pencarum Perkeso bekerja sendiri tahun depan

Kuala Lumpur – Kerajaan dijangka memberikan insentif sehingga 80 peratus kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi individu bekerja sendiri tahun depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, tahun ini kerajaan memberikan insentif atau subsidi sebanyak 70 peratus daripada RM232.80 iaitu jumlah caruman yang dibayar oleh pencarum dalam setahun.

“Hanya RM20 hingga RM30 lebih akan dibayar oleh pencarum dalam masa setahun menerusi insentif itu nanti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai usaha yang dilakukan untuk menggalakkan caruman skim perlindungan Perkeso dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi individu yang terbabit dalam bidang p-hailing dan e-hailing.

Awang berkata, RM232.80 antara empat pelan caruman pilihan yang disediakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) yang bermula dengan pilihan pelan caruman sebanyak RM157.20; RM 232.80; RM442.80; atau RM592.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Beliau memaklumkan individu bekerja sendiri yang terbabit dalam bidang p-hailing diwajibkan supaya berdaftar dan mencarum dengan Perkeso.

Katanya, ia selaras dengan pewartaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar caruman Bagi Orang Yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan dan Penghantaran Barangan Atau Makanan) 2021 bertarikh 21 September lalu dan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober.

Justeru itu, individu bekerja sendiri yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dalam perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan diwajibkan mendaftar dan mencarum bermula 1 Oktober lalu.

Awang menjelaskan strategi dan usaha berterusan sentiasa diambil perhatian oleh kerajaan bagi meningkatkan caruman skim perlindungan Perkeso dan SIP terutama bagi individu yang terbabit dalam bidang p-hailing dan e-hailing.

Individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri yang terbabit dalam bidang p-hailing dan e-hailing adalah diliputi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang tertakluk di bawah peruntukan Akta 789, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu