Nation
146

Insiden LRT: 3 mangsa kritikal tunjuk perkembangan baik

Kuala Lumpur – Tiga mangsa insiden kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya Isnin lepas yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini menunjukkan perkembangan yang baik berbanding sebelum ini, kata Menteri Pengangkutan​ Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Pada pagi ini, sekali lagi Pasukan Perubatan HKL memaklumkan perkembangan terkini mengenai tiga pesakit tersebut. Syukur apabila dimaklumkan bahawa ketiga-ketiga pesakit menunjukkan progress (perkembangan) yang baik dan keadaan lebih stabil berbanding sebelum ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, semalam.

Wee berkata seorang pesakit wanita berusia 37 tahun yang telah menjalani pembedahan otak pada awal pagi 25 Mei lepas, kini beransur pulih dan berada dalam pemantauan rapi pakar perubatan.

Katanya, seorang pesakit lelaki berusia 52 tahun turut menunjukkan proses pemulihan yang memuaskan.

“Beliau akan menjalani pembedahan tulang belakang pada 31 Mei (esok). Prasarana akan menanggung segala kos perubatan berjumlah RM24,000 untuk membeli plat titanium, skru dan rod titanium serta perkakas lain untuk tujuan pembedahan spine tersebut,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata keadaan seorang lagi pesakit wanita berusia 26 tahun juga bertambah baik dan akan menerima rawatan lanjut oleh pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) dan oftalmologi.

Beliau turut menzahir penghargaan kepada pasukan pakar perubatan HKL kerana bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada tiga mangsa insiden terbabit.

“Dalam masa sama, saya juga telah berkomunikasi dengan keluarga tiga pesakit berkenaan tengah hari tadi. Saya dan seluruh warga Kementerian Pengangkutan sentiasa mendoakan agar kesemua pesakit pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian pada 8.33 malam, Isnin lepas (24 Mei), sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu