Nation
103

Insiden LRT: Kedua-dua tren sudah dibawa keluar

Putrajaya – Kedua-dua tren yang terlibat dalam kemalangan pada 24 Mei lalu dibawa keluar lebih awal dari tempoh tiga hari yang dijanjikan setelah bekerja tanpa henti oleh pasukan Recovery Rapid Rail.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tren TR40 selamat sampai ke depoh Subang pada pukul 3.45 pagi ini manakala TR81 pula sampai di Gombak tail track pada pukul 4.51 pagi.

Menurut beliau, Prasarana akan menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan trek dari Stesen Kampung Baru ke Stesen KLCC.

“Akan tetapi, pasukan Recovery terpaksa “Power Down” (menutup pembekalan kuasa) untuk seluruh stretch yang terlibat iaitu dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai yang mana ia melibatkan lima buah stesen LRT sepanjang stretch akibat daripada “power down”.

“Lima buah stesen LRT yang terlibat ialah Damai, KLCC, Ampang Park, Kg Baru dan Dang Wangi,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Ka Siong berkata, sebaik sahaja kerja pembaikan stretch berkenaan selesai, maka pemeriksaan akan dibuat pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan tersebut.

Kata beliau, untuk pengoperasian Aliran Transit Ringan (LRT) pada hari ini, memandangkan kesan ‘power down’ dan juga masih terdapat satu landasan yang ditutup selepas kejadian, maka terdapat ‘bottleneck’ kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni (tujuh buah stesen LRT) dan masa yang diambil untuk sesebuah tren melalui stretch berkenaan adalah 16 minit.

“Bagaimanapun, kaedah ‘platoon’ akan digunakan bagi dua tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan bottleneck.

“Dimaklumkan juga 58 tren LRT untuk Laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya tanpa pengurangan frekuensi sepertimana yang saya umumkan semalam,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pihak Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan pada hari ini agar perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Apabila landasan siap diperbaiki, jelasnya, tiada lagi kesan bottleneck dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50 peratus kapasiti seperti yang disyaratkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan sehingga 7 Jun ini tanpa mengurangkan frekuensinya.

Dalam kejadian pukul 8.45 malam, dua buah tren LRT bertembung melibatkan tren dari Gombak yang membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya tidak membawa penumpang.

Laporan awal punca kejadian berlaku berkemungkinan kecuaian manusia selain faktor lain yang masih disiasat mengakibatkan sebanyak 166 penumpang mengalami kecederaan. – Utusan Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu