Nation
576

Insiden LRT: Polis panggil pemandu untuk rakam keterangan

Kuala Lumpur – Polis akan mengambil keterangan pemandu tren pandu uji dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata polis juga akan membantu pasukan panel penyiasat khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Setakat ini kami akan membantu pasukan itu untuk menjalankan siasatan selanjutnya. Kami akan melihat keperluan untuk memanggil pemandu berusia 32 tahun yang turut luka ringan dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui ketika melakukan pemantauan di pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur selepas penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat dilaksanakan hari ini dengan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan dihadkan kepada maksimum dua jam.

Mohamad Zainal berkata setakat ini lebih 60 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), antaranya enam warga asing termasuk dari Filipina, Pakistan dan Bangladesh.

Semalam, sebanyak 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

Terdahulu, Mohamad Zainal berkata tinjauan hari pertama penguatkuasaan PKP 3.0 yang diperketatkan di sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu negara hari ini memfokuskan pengunjung atau pelanggan yang kini dibenarkan berada di dalam premis peruncitan maksimum dua jam.

Beliau berkata rata-rata pengunjung sedar akan pelaksanaan SOP itu dan pihaknya juga mendapati semua pasar raya di sekitar ibu negara menunjukkan pengurangan kehadiran pengunjung sekitar 30 hingga 40 peratus sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan pada 12 Mei lepas. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu