Social
464

Insiden pekerja lompat pagar bukan lari dari operasi

Shah Alam – Insiden kononnya pekerja melompat keluar pagar sebuah syarikat kurier di Seksyen 22, dekat sini petang tadi dan melarikan diri, bukanlah kerana operasi pihak berkuasa tetapi susulan panik mendengar bunyi penggera kebakaran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, kejadian yang berlaku sekitar 4.30 hingga 5 petang tadi itu, berpunca daripada gangguan ‘false fire alarm trigger’ syarikat berkenaan, dan ia dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian.

Baharudin berkata, bunyi penggera tersebut membuatkan ramai pekerja panik dan melarikan diri, ekoran takut sekiranya berlaku kebakaran di syarikat berkenaan.

“Kejadian viral dalam video yang menunjukkan ramai pekerja lompat pagar lari dari syarikat itu petang tadi, bukan kerana operasi atau apa-apa serbuan pihak penguatkuasa.

“Memandangkan syarikat tersebut masih baru sejak diambil alih lebih kurang sebulan lalu, ramai pekerja serta pengurusan belum didedahkan dengan ilmu ‘fire drill’, seperti tempat berhimpun dan pelan evakuasi (sekiranya berlaku kebakaran dan bencana),” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 57 saat di media sosial, yang mendakwa pekerja sebuah syarikat kurier di Seksyen 22, dekat sini melompat dan memanjat pagar melarikan diri, daripada operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu