Nation
329

Insiden tembakan : Identiti 4 anggota TUDM dikenalpasti

Kuching – Polis telah mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata anggota yang maut terdiri daripada Kpl U Ho Swee Boon dari Lundu; Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

Beliau berkata maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.

“Ketika itu penyelia bertugas adalah Kpl Julaihi. Turut berada di situ adalah Kpl Mohd Saiful Dania, Kpl Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.

“Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Kpl U Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu