Kuala Lumpur Post

Social

Inspektor polis antara 7 suspek ditahan culik ahli perniagaan

KUALA LUMPUR — Pegawai polis berpangkat Inspektor antara tujuh ditahan kerana disyaki terbabit kes melarikan seorang ahli perniagaan di Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan, pada 10 Januari lalu.

Pegawai terbabit yang bertugas di kontinjen Perak ditahan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh mendakwa abangnya dilarikan sekumpulan tujuh individu.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis menjalankan serbuan dan berjaya menyelamatkan lelaki itu.

“Hasil siasatan, lelaki terbabit dipercayai berhutang RM70,000 daripada salah seorang suspek. Disebabkan itu suspek melarikan mangsa dan memintanya membayar RM25,000,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 Januari lalu sehingga esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Tags: , , ,