Kuala Lumpur Post

Nation

Institut Kesihatan Mental bakal ditubuhkan : PM Anwar

KUALA LUMPUR — Kerajaan akan menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menangani isu berkenaan yang menjadi keutamaan kerajaan dan kini semakin membimbangkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat hari ini berkata penubuhan institut itu bagi menjamin usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menangani isu kesihatan mental di negara ini.

“Kerajaan bertekad untuk menambah baik mutu kesihatan rakyat. Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentangkan pada 15 Jun menyasarkan reformasi untuk dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun melalui anjakan utama Pengukuhan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan meningkatkan liputan perlindungan kesihatan melalui perluasan Skim Perubatan MADANI bagi membantu golongan kurang berkemampuan serta menaik taraf 1,200 klinik daif di seluruh negara untuk tempoh 2023 hingga 2025 bagi menjamin mutu perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, kerajaan telah bersetuju untuk menyegerakan projek naik taraf fasa pertama di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta bagi menangani masalah kesesakan yang telah sekian lama berlanjutan.

Anwar berkata kerajaan juga akan meneliti cadangan sewaan bagi memastikan mutu rawatan kesihatan terbaik buat rakyat menggunakan peralatan yang termaju dan berteknologi tinggi manakala pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik akan diperluas ke seluruh negara untuk memastikan perkongsian rekod perubatan yang lebih lancar, sistematik dan mesra rakyat.

Kerajaan juga menurut beliau, sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan dalam menghadapi cabaran dan dampak negara menua yang akan memberi kesan kepada sosioekonomi dan kedudukan fiskal negara.

Malaysia telah beralih ke status negara menua pada 2021 apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus daripada jumlah populasi serta dijangka beralih ke status negara tua dalam tempoh dua dekad lagi, apabila kohort umur yang sama mencapai 14 peratus daripada jumlah populasi.

“Kerajaan juga mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan Pusat Geriatrik baharu bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada warga emas,” katanya.

Perdana Menteri berkata Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 juga sedang diperhalusi dan dijangka akan dikuatkuasakan pada 2025.

Tags: ,