Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Politics

Isham Jalil dilantik ahli MT UMNO ganti Tajuddin

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Isham menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan sebagai ahli MT.

“Isham telah dilantik Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengangkat sumpah hari ini,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli MT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid di Menara Dato Onn di sini malam ini.

Isham, 46, sebelum ini digugurkan daripada jawatannya sebagai Ketua Penerangan BN Selangor oleh BN negeri itu.

Ahmad berkata Mesyuarat MT UMNO juga mencadangkan supaya Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbang untuk diwujudkan bagi menangani isu ayam sekali gus mengelakkan manipulasi pihak kartel berkepentingan.

Beliau berkata Mesyuarat MT juga menegaskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentangkan segera di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain mewujudkan Akta Pendanaan Politik agar garis panduan jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan.

Katanya mesyuarat juga memutuskan bahawa jentera pilihan raya UMNO di semua peringkat digembleng bersama parti komponen BN supaya tahap kesiapsiagaan jentera BN berada pada tahap tertinggi.

Ditanya mengenai perkembangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai pindaan perlembagaan parti, Ahmad berkata beliau berharap RoS memberikan keputusan segera kerana semua dokumen telah dihantar mengikut prosedur ditetapkan.

Pada 15 Mei lepas, Perhimpunan Agung UMNO Khas secara rasminya meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan MT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Selain itu, Ahmad memaklumkan Majlis Tertinggi BN akan memutuskan mengenai permohonan daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan itu, lapor Bernama.

Tags: ,