Nation
670

Ismail Sabri hampir pasti Perdana Menteri ke-9

Kuala Lumpur – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin pasti dilantik ke jawatan Perdana Menteri Kesembilan berdasarkan sokongan 114 Ahli Parlimen mewakili parti politik yang dibuat menerusi akuan bersumpah.

Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas itu mengemukan akuan bersumpah bagi nama calon Perdana Menteri kepada Istana Negara melalui faks, e-mel serta salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp semalam.

Hari ini setiap seorang daripada 114 Ahli Parlimen itu telah dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengesahkan secara peribadi kesahihan sokongan mereka itu.

Majlis menghadap secara fizikal itu bagi membolehkan Seri Paduka mengenal pasti sama ada akuan bersumpah setiap seorang itu dibuat secara sukarela atau lain lain.

Ahli-ahli Parlimen GPS pula menyertai majlis menghadap itu secara maya dari sebuah hotel di Kuching

Setiap Ali Parlimen mengambil masa beberapa minit untuk mengesahkan akuan bersumpah masing-masing ketika majlis menghadap itu yang dilakukan secara berperingkat bermula jam 10 pagi tadi, kedua pada 11.10 pagi, manakala kumpulan ketiga pada jam 2 petang, keempat jam 3.10 petang dan kumpulan kelima pada jam 4.20 petang.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata beliau mendapat undangan untuk menghadap Seri Paduka malam semalam menerusi Setiausaha Dewan Rakyat.

“Saya difahamkan sebelum ini hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput (ke Istana Negara) dan mereka yang menyokong calon kedua daripada maklumat yang saya ada, mereka tidak dijemput menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya mengesahkan sokongannya kepada Ismail Sabri, bekas timbalan perdana menteri dalam kerajaan PN.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata: “Saya juga diberikan satu senarai oleh Speaker Dewan Rakyat pagi ini, sejumlah 114 Ahli Parlimen dijemput menghadap,” katanya.

Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Sharif pula berkata pada majlis menghadap itu, Seri Paduka menitahkan setiap yang hadir untuk memperkenalkan diri serta menyatakan nama pemimpin yang disokong.

“Perjumpaan berlangsung lebih kurang satu minit untuk setiap Ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan mengesahkan bahawa titah menghadap ke atas Seri Paduka bertujuan untuk pengesahan akuan bersumpah (SD).

“Tuanku nak tahu siapa yang disokong dan nak pastikan SD yang kita buat adakah secara sukarela atau sebaliknya,” katanya dan menambah bahawa Ahli Parlimen yang dipanggil adalah kumpulan yang menyokong Ismail Sabri untuk jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jack Seng dari MCA turut mengesah menerima undangan ke Istana Negara bagi mengesahkan surat akuan bersumpah semalam.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Seri Paduka tidak menzahirkan bila akan mengumumkan nama perdana menteri yang baharu.

Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihubungi selepas majlis itu berkata: “Tiada titah lain daripada Seri Paduka. Kami menghadap Yang di-Pertuan Agong hanya untuk menyerahkan serta mengesahkan sokongan masing-masing melalui SD.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkata mereka tidak menerima panggilan menghadap Seri Paduka berkaitan pencalonan Perdana Menteri baharu.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata tiada sebarang jemputan diterima pakatan itu untuk ke Istana Negara.

Presiden Amanah Mohd Sabu ketika manjawab mesej melalui aplikasi Whatsaps apabila ditanya mengenai jemputan itu sekadar menjawab: “Belum lagi,”.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bangi (DAP) Ong Kian Ming menyatakan pembangkang tidak dipanggil ke Istana Negara pagi ini dalam satu ciapan Twitternya.

”Morning guys! In case anyone is wondering, no, my colleagues and I didn’t get any calls to go to the Palace today… Have a nice day! (Selamat pagi semua, Mungkin ada yang tertanya-tanya, tidak, saya dan rakan-rakan tidak menerima jemputan untuk ke Istana hari ini … Selamat menjalani hari yang indah!), katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu