KUALA LUMPUR — Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi notis pendedahan aset membabitkan 11 harta, pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya minta bicara,” katanya ringkas dan tenang.
Mengikut pertuduhan, wanita itu dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan di dalam Lampiran A.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.
Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan rasuah terhadap Daim.