Social
168
0

Isteri mengandung dihalang memasuki Malaysia

Kuala Lumpur – Seorang warga China yang merupakan isteri rakyat Malaysia yang sedang mengandung tujuh bulan dan tinggal di Singapura, telah ditolak permohonannya untuk memasuki Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Chagar, di Johor Bahru dan kini berhadapan diusir ke negara asalnya.

Surat penolakan kemasukan wanita berusia 27 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Yong menyatakan, penolakan itu dibuat mengikut Seksyen 8 (3) Akta Imigresen 1959/1963.

Suami wanita itu, seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Yong berkata, penolakan yang berlaku pada Isnin (30 Nov), meletakkan pasangan itu dalam dilema kerana isterinya itu tidak boleh tinggal lama di Singapura.

“Sebelum ini isteri saya bekerja di Singapura dan mempunyai permit kerja, tetapi undang-undang Singapura tidak membenarkan pekerja asing (bukan Malaysia) mengandung atau melahirkan anak di negara itu, maka permit itu dibatalkan apabila dia mengandung,” katanya kepada Bernama menerusi telefon.

Beliau berkata, beliau tidak dapat menjadi penaja isterinya itu menggunakan pas kerjanya, kerana sebagai seorang pengurus kedai, pendapatannya tidak mencapai syarat minima gaji S$6,000 sebulan dan tidak dapat menemani isterinya itu ke Malaysia, kerana khuatir kehilangan kerja akibat peraturan kuarantin selama sebulan.

Beliau berkata, selepas ditolak kemasukan ke Malaysia, pihak Singapura telah mengeluarkan pas khas untuk tinggal selama 14 hari di negara itu dan apabila tamat tempoh tersebut, beliau perlu meninggalkan Singapura atau diusir.

Yong, yang berasal dari Kluang, Johor berkata, Malaysia merupakan harapan terbaik mereka untuk tidak terpisah dan memastikan keselamatan anak dalam kandungan kerana isterinya itu tidak perlu perjalanan yang panjang untuk bersama anggota keluarganya yang akan menjaga isterinya itu.

Beliau berkata, isterinya itu telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk kemasukan termasuk kebenaran ‘MyTravelPas’ untuk kemasukan, surat jaminan pembayaran untuk kuarantin COVID-19 dan sijil perkahwinan mereka, yang mana mereka telah berdaftar dengan kerajaan Malaysia.

Katanya, isterinya tidak mempunyai Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pajang, dan bercadang untuk memohon mendapatkannya sebaik tiba di Malaysia.

Sementara itu Pengarah Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Dr Syahmi @ Muhammad Syahmi Jaafar berkata, ketiadaan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang, tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menolak kemasukan wanita itu atau mana-mana pasangan warga asing, jika mereka mempunyai kebenaran yang diperlukan.

“Ia satu kes yang jarang berlaku untuk menolak kemasukan isteri rakyat Malaysia yang merupakan seorang warga asing,” dan menambah kerajaan berusaha keras dalam membantu rakyat Malaysia untuk kembali bersama anggota keluarga yang terdiri daripada rakyat asing.

Muhammad Syahmi berkata, beliau akan menyiasat apa yang berlaku namun percaya pada tindakan pegawainya.

Malaysia telah mengetatkan kemasukan sejak Mac akibat pandemik COVID-19. Pasangan kepada rakyat Malaysia yang merupakan warga asing tanpa Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang atau visa pasangan, terutamanya telah terkesan apabila tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia sehingga Ogos, di mana kerajaan membenarkan kemasukan pasangan dan anak mereka tanpa Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang.

Baru-baru ini kerajaan melonggarkan sekatan bagi membolehkan kemasukan pasangan warga asing daripada 23 negara yang dilarang sebelum ini.

Seksyen 8 (3) Akta Imigresen 1959/1963 menyenaraikan kemasukan imigran yang dilarang termasuklah, mereka yang tidak mempunyai punca pendapatan untuk menyara dirinya, mempunyai rekod jenayah, mengalami sakit mental dan menjalankan kegiatan untuk menjatuhkan negara. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu