Nation
163

Istiadat angkat sumpah Kabinet selesai

Kuala Lumpur – Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia membabitkan 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri selesai.

Istiadat yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadual bermula pada pukul 2.30 petang itu berlangsung selama kira-kira 2 jam.

Kenderaan yang membawa Menteri dan Timbalan Menteri dilihat mulai keluar dari pekarangan Istana Negara melalui Pintu 2 pada pukul 4.30 petang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia berikutan perlu menjalani kuarantin kendiri ekoran disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Perkara itu disahkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan dengan memaklumkan bahawa beliau perlu menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini.

Terdahulu pada 16 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan oleh Muhyiddin dan semua anggota Kabinetnya selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti pembangkang.

Ismail Sabri kemudian diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan selepas memperoleh sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen termasuk dari UMNO, Bersatu, Pas, MCA, MIC dan GPS.

Pembentukan Kabinet baharu telah diumumkan pada 27 Ogos lalu yang dinamakan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ dan senarai ahli pentadbiran baharu itu adalah satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’, lapor Kosmo Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu