Nation
200

Isu air : P. Pinang mohon campur tangan Kerajaan Persekutuan

Bukit Mertajam – Kerajaan negeri Pulau Pinang menyarankan Kerajaan Persekutuan untuk campur tangan bagi mengatasi kemelut air yang berlaku dengan negeri Kedah.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihaknya amat berharap agar kementerian terlibat dapat memainkan peranan yang sewajarnya demi menjaga kepentingan umum berhubung isu tersebut.

“Kami (kerajaan negeri Pulau Pinang) memang berharap kementerian yang bertanggungjawab dapat memainkan peranannya untuk melihat apa yang dicadangkan mahupun apa yang diumumkan itu (daripada Menteri Besar Kedah) demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Malah, kami tidak menghalang Kedah untuk lakukan sebarang pembinaan empangan mahupun struktur lain untuk menyimpan air, (usaha untuk) mencegah banjir atau (tujuan) rawatan air, namun mereka (Kedah) perlu ingat akan hak yang sama untuk negeri lain berdasarkan prinsip hak riparian…itu yang kami perjuangkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi ulasan lanjut berhubung kerajaan negeri Pulau Pinang akan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kedah sekiranya ada projek yang dilaksanakan di Sungai Muda mengancam bekalan air di Pulau Pinang, pada 25 Mac lepas.

Chow berkata kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kemungkinan Pulau Pinang akan menggunakan ‘air selut’ jika enggan membayar caj air mentah kepada Kedah sebelum ini, disifatkannya sebagai tidak menghormati prinsip hak riparian.

Terdahulu, beliau telah merasmikan Program Gotong-Royong Perdana sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa, berhampiran Sungai Juru, dekat sini.

Jaseni berkata sebarang bentuk projek yang dilakukan di Sungai Muda perlu mengambil kira keseimbangan hak negeri-negeri lain menggunakan sumber air yang sama.

“Apabila sesuatu projek itu dimajukan (di Sungai Muda), Kerajaan Persekutuan melalui agensi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengkaji dengan lebih terperinci iaitu apabila kita sedut air di hulu ia tidak akan memberi ancaman kepada sekuriti air negeri-negeri di bawahnya…kena ambil kira keseimbangan tersebut,” katanya. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu