Nation
162

Isu jual arak: Perbincangan dengan pihak terlibat masih diteruskan : Shahidan

Kuala Lumpur – Perbincangan mengenai larangan penjualan minum keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat cina di ibu negara masih diteruskan untuk mencapai kata sepakat semua pihak terlibat sebelum penguatkuasaan larangan penjualannya dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sebelum ini terdapat beberapa perjumpaan bersama pihak terlibat termasuk Teresa Kok (PH-Seputeh) untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK).

Beliau berkata keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan garis panduan itu hingga 31 Okt sebelum ini adalah bagi memberi ruang untuk perbincangan lanjut.

“Perjumpaan ini belum habis lagi…kita bukan sahaja perlu fikir tentang (kepentingan) penjual, malah tentang orang yang membeli. Kerajaan Keluarga Malaysia menghormati orang Islam dan bukan Islam.

“Saya tak mahu buat keputusan dengan keadaan Yang Berhormat (Kok) terbuku di hati (tidak puas hati) dan saya pun tak seronok untuk membuat keputusan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Kok yang bertanya adakah kementerian itu akan meneruskan perbincangan dengan semua pihak terlibat dalam isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Shahidan menjelaskan jumlah LMK yang diluluskan sebelum ini adalah mencukupi, namun penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan kerana penjualan minuman keras secara terbuka adalah tidak wajar.

“Ini melibatkan (masalah) anak muda membeli minuman itu dan terdapat juga minuman yang tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan dijual di mana-mana. Ini membimbangkan dan kita terpaksa adakan undang-undang untuk menyekat kemudahdapatan minuman itu,” katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat larangan jualan minuman keras di premis tertentu, masyarakat bukan Islam masih boleh mendapatkan minuman itu di lokasi yang dibenarkan seperti hotel, pub, bar dan kedai runcit yang dikhususkan untuk menjual produk itu, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu