Social
244

Isu kalimah Allah: Polis kenal pasti individu sebar kenyataan berbaur hasutan

Kuala Lumpur – Polis telah mengenal pasti pemilik akaun sebuah laman sosial yang dilihat cenderung menghasut orang ramai menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Huzir Mohamed berkata siasatan telah dijalankan pihaknya Sabtu lepas terhadap pemilik akaun Facebook Mujahidah Malaysia yang mengeluarkan beberapa kenyataan mempertikaian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah Allah.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat menerusi video berdurasi 12 minit 34 saat itu bersifat menghasut dasar agama dan perkauman.

“Suspek bagi kes ini telah dikenal pasti dan akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

Huzir turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta menggangu gugat keharmonian negara.

Jelasnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu