KUALA LUMPUR — Isu berkaitan kematian pelarian di pusat tahanan, kod etika wartawan dan status larangan eksport nadir bumi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tentang laporan terbaharu Human Rights Watch (HRW) yang mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian dalam pusat tahanan yang penuh sesak melebihi kapasiti selain berlaku kematian membabitkan golongan rentan.
Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pula dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi menyatakan rasional penggubalan Kod Etika Wartawan baharu yang diumumkan pada 20 Feb lepas, mengambil kira implikasi hak kebebasan media serta kerangka kawal selia media secara menyeluruh.
Pada sesi sama Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan status larangan eksport nadir bumi pada ketika berlakunya peralihan teknologi bagi pemprosesan dan industri hilirannya dibangunkan sebagai suatu langkah memanfaatkan kadar ringgit yang optimum untuk eksport tersebut.
Usai sesi itu persidangan akan diteruskan dengan menyambung semula penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja daripada kementerian berkaitan.
Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 ini berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini dan seramai 160 Ahli Parlimen telah selesai membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di persidangan Dewan Rakyat bermula 27 Februari hingga 7 Mac lepas.