Nation
53

Isu kompaun: Pemilik kedai makan diminta kemuka rakaman CCTV

Kuching – Pemilik sebuah kedai makan di Luak, Miri yang menjadi lokasi seorang peniaga gerai dan seorang pekerja dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Jumaat lepas diminta mengemukankan rakaman penuh kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata rakaman penuh CCTV itu diperlukan pihaknya bagi membantu siasatan susulan terdapat dakwaan bahawa pihak polis telah melakukan kesilapan semasa mengeluarkan kompaun berkenaan.

Menjelaskan insiden itu, Aidi berkata tindakan yang diambil polis pada hari tersebut adalah berdasarkan maklumat orang awam mengenai premis tersebut yang menyediakan sarapan pagi kepada pelanggan.

Katanya, setibanya di premis terbabit, polis mendapati pekerja premis sedang menyediakan makanan kepada pelanggan untuk dihidangkan secara ‘dine-in’ namun kehadiran polis disedari pelanggan yang sempat melarikan diri.

“Polis mendapati keadaan kedai telah disusun untuk kemudahan pelanggan duduk menjamu selera manakala pekerja kedai kelihatan sedang mengemas meja makan selepas menyedari kehadiran polis.

“Justeru, dakwaan pihak tertentu bahawa tiada pelanggan (di kedai) adalah tidak benar kerana ia boleh disemak oleh CCTV di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Senator Alan Ling Sie Kiong dilaporkan berkata pihak polis telah menyalahgunakan kuasa apabila mengenakan kompaun yang tinggi kepada peniaga gerai dan pekerja tersebut.

Menurutnya, peniaga gerai itu telah dikenakan kompaun RM1,500 manakala pekerja kedai tersebut dikompaun RM5,000. – Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu