Nation
282

Isu Kuil Di Segambut Perlu Penyelesaian Muktamad : Pemuda MIC WP

Oleh:Arcot JLN

Kuala Lumpur, 5hb April 2021- Awal pagi Isnin ini bukan sekadar hari biasa untuk rombongan MIC yang telah berkumpul di perkarangan kuil Om Sri Maha Kakkum Madurai Veeran di Segambut. Mereka telah berhimpun kali ini sebagai simbol solidariti bersama pihak pengurusan rumah ibadat tersebut yang akan berhadapan dengan perobohan pada pagi ini berdasarkan notis yang ditujukan kepada mereka oleh pihak pemaju.

Ketua Sayap Pemuda MIC Wilayah Persekutuan S.Arumugam bersama-sama ahli-ahli exco-exconya juga telah hadir untuk memberi sokongan kepada kuil yang berusia lebih dari 100 tahun itu. Pihak pengurusan kuil berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan perobohan selama 7 hari berkuatkuasa hari ini.

Dalam pada itu, S.Arumugam membidas kenyataan beberapa individu tertentu yang cuba untuk memburukkan usaha-usaha MIC dalam mengekang perobohan kuil ini dengan menyebarkan fitnah tanpa berasas terhadap parti tersebut.

“Campur tangan MIC dalam isu perobohan kuil ini adalah untuk membantu dalam proses perundingan untuk mencapai satu penyelesaian yang aman dan baik bagi semua pihak. Meskipun mahkamah telah memberi perintah penangguhan perobohan, tetapi ianya hanya sah untuk tujuh hari sahaja dan perundingan segera dengan pihak-pihak terlibat perlu dipercepatkan untuk mencari jalan penyelesaian,” kata beliau.

“Kami bukannya ‘keyboard warrior’ yang hanya duduk di atas kerusi saban hari sambil menghirup kopi dan memberi komen di media sosial tanpa turun ke padang untuk mengetahui isu yang sebenarnya. Sebaliknya, kami menggesa parti-parti dan NGO-NGO yang berkenaan untuk berganding bahu dengan kami dalam menangani isu ini.”

Komitmen tinggi pihak MIC dalam isu ini terbukti apabila rombongan pada hari ini terdiri dari gabungan wakil-wakil parti peringkat bahagian, negeri dan pusat. Rombongan yang diketuai oleh Datuk N.Sivakumar, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan merangkap Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam bersama-sama dengan Tuan AK Ramalingam, Setiausaha Kerja MIC Kebangsaan telah berbincang dengan pihak pengurusan kuil untuk meneliti langkah-langkah seterusnya demi mencari penyelesaian muktamad untuk kuil tersebut.

Datuk S. Rajah, Ahli Lembaga Penasihat DBKL yang juga Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan pula bertekad untuk membawa cadangannya supaya syarat ‘kebebanan tanah’ Pejabat Tanah dan Galian diselaraskan dengan Perintah Pembangunan DBKL, sewaktu mesyuarat Lembaga Penasihat DBKL nanti. Menurut beliau, ini akan mengelakkan jalan mudah yang diambil oleh pihak pemaju yang hanya memerlukan perintah mahkamah untuk merobohkan rumah ibadat.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu