Social
299

Isu menteri ditahan di SJR: 11 individu dipanggil beri keterangan

Kuala Lumpur – Polis mengesahkan telah memanggil 11 individu untuk diambil keterangan berhubung siasatan mengenai kes tular di laman sosial yang dimuat naik di sebuah portal membabitkan seorang menteri yang didakwa ditahan dalam satu sekatan jalan raya pada Mei lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata keterangan mereka dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya. Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas tanpa mendapatkan makluman sahih daripada sumber rasmi berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memuat naik hantaran itu dan merakam percakapan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes ini.

Abd Jalil berkata sebarang bentuk penyebaran berita palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular di media sosial Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ditahan di sekatan jalan raya di Perasing, Terengganu.

Hantaran itu bertajuk ‘Tular WhatsApp Khairuddin Ditahan di Perasing, Terengganu’ dimuat naik di sebuah portal 28 Mei lepas. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu