Nation
178

Isu Mitra: Kementerian sedia beri kerjasama kepada SPRM : Halimah

Kuala Lumpur – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu yang tular berkaitan geran kewangan Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), sebuah agensi di bawah kementerian itu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pihak menteri mahupun ketua pengarah tiada peranan dalam kelulusan geran Mitra kerana kuasa memberi kelulusan diletakkan sepenuhnya di bawah Jawatankuasa Penilaian Geran Mitra yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN.

“Setelah Mitra diletakkan di bawah KPN sepenuhnya, KPN telah mengambil dua tindakan segera iaitu menyediakan Garis Panduan Pengurusan Geran Kewangan Mitra yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Satu lagi tindakan ialah menubuhkan dua jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menilai permohonan yang diterima dan membuat pemantauan ke atas pelaksanaan program yang telah diluluskan,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata penyediaan Garis Panduan Pengurusan Geran Kewangan Mitra yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan penubuhan dua jawatankuasa itu adalah bagi memastikan pengurusan geran kewangan Mitra dibuat dengan teratur serta memberi impak kepada masyarakat India khususnya B40.

Katanya permohonan yang diterima oleh Mitra akan melalui proses tapisan oleh urus setia di Mitra terlebih dahulu sebelum dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Penilaian Program Mitra yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN.

Beliau berkata jawatankuasa itu bertanggungjawab menilai dan seterusnya membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya bagi permohonan yang dibentangkan.

Halimah berkata Jawatankuasa Pemantauan Program Mitra yang juga dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN kemudian akan memantau pelaksanaan program yang telah diluluskan bagi memastikan ia mengikut terma dan syarat serta mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Bagi mana-mana program yang tidak dilaksanakan mengikut terma dan syarat perjanjian, kerajaan mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian dan menuntut bayaran balik daripada pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata arahan turut dikeluarkan supaya pegawai Mitra dilantik daripada kalangan penjawat awam khususnya Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang akan dapat melaksanakan peranan dengan lebih sistematik serta bertanggungjawab selain mempunyai akauntabiliti yang tinggi.

Halimah berkata apabila Mitra diletakkan di bawah KPN sepenuhnya mulai April 2020, Ketua Pengarahnya ialah M.Magalingam iaitu pegawai yang dilantik di bawah kepimpinan Senator Waytha Moorthy.

Katanya Magalingam telah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Mitra sehingga tamat kontrak pada 30 Jun lepas.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Magalingam, menteri atau ketua pengarah tidak mempunyai kuasa budi bicara mempertimbang mana-mana permohonan untuk geran.

“Segala geran Mitra sepanjang tempoh dari 2019 hingga Mac 2020 telah diuruskan kelulusannya oleh Ketua Pengarah.

“Walau bagaimanapun, urusan kelulusan geran selepas Mitra diletakkan sepenuhnya di bawah KPN sehingga sekarang diluluskan oleh Ketua Pengarah dan Jawatankuasa Penilaian Program Mitra,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu