Nation
112

Isu penyeludupan arak, rokok bakal dikupas di Dewan Rakyat hari ini

Kuala Lumpur – Isu aktiviti penyeludupan termasuk arak dan rokok yang didakwa menyumbang kepada kerugian hasil negara, dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) pada sesi soal jawab yang meminta Menteri Kewangan menyatakan mengenai jumlah kerugian hasil negara akibat aktiviti itu serta langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasinya.

Pada sesi itu juga, Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) akan membangkitkan persoalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai rancangan menyediakan khidmat guaman syarie kepada golongan ibu tunggal yang kurang berkemampuan.

Selain itu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) meminta penjelasan Menteri Pengajian Tinggi mengenai inisiatif kementerian itu dalam membendung isu pembayaran elaun pelajar latihan industri yang rendah.

Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) pula meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan langkah yang diambil bagi mengatasi isu pengambilalihan tanah sawah sebagai tapak industri dan perumahan.

Selepas sesi itu, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu