KUALA LUMPUR — Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang kesalahan rasuah.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg. Ismail mengesahkan perkara itu dan menjelaskan siasatan sudah dijalankan sejak 2019.
Katanya, siasatan itu juga sudah pun selesai dan SPRM tidak menemukan sebarang unsur jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009.
Beliau bagaimanapun berkata, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya pihak SPRM menemui sebarang maklumat baharu.
“Sehubungan itu, pihaknya menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita-berita palsu berhubung perkara berkenaan sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah akaun Telegram baru-baru ini.
“SPRM Negeri Sembilan komited dalam usaha memerangi rasuah yang membabitkan dana awam di negeri ini.
“Oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu yang diterima,” katanya, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan meminta SPRM dan polis memaklumkan sekiranya ada tindakan diambil berhubung penyelewengan itu.
Katanya, beliau tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak lagi berada dalam MAINS.
“Saya rasa SPRM dan polis masih menjalankan siasatan, jadi kita serah kepada pihak yang menyiasat kes itu,” katanya.
Isu penyelewengan dan pecah amanah di MAINS tular di media sosial yang turut mengaitkan beberapa pegawai MAINS yang terbabit dalam kutipan zakat jutaan ringgit, lapor Bernama.