Social
251

Isu sugar baby: Perkasa pendidikan seks sedari kecil

Kuala Lumpur –  “Hidup mewah, hidup bergaya. Serba-serbi mahu berjenama.” Gaya kehidupan sebegini sememangnya menjadi impian serta gilaan ramai orang termasuk golongan yang kurang berkemampuan.

Teruja dengan pujian serta sorakan apabila memperagakan kemewahan, sehinggakan ada yang terpaksa mendapatkannya bersumberkan kegiatan haram dan maksiat.

Antaranya, menjadi Sugar Baby kepada Sugar Daddy (SBSD) dan aktiviti ini dilaporkan masih berterusan meskipun laman sesawang Sugarbook sudah ditutup dan pihak polis pula sedang menyiasat pengasas laman berkenaan.

Pakar sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran apabila ditanya pandangannya mengapakah isu Sugar Baby-Sugar Daddy (SBSD) dilihat bagaikan tiada berkesudahan apabila permintaan dan penawarannya masih terus wujud, mengutarakan Teori Masalah Sosial untuk merungkai isu berkenaan.

Kaitan teori dan penyelesaiannya ialah berdasarkan faktor cara atau definisi masyarakat yang sering menterjemahkan kejayaan seseorang dengan sifat kebendaan.

Menurut beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), golongan muda khususnya adalah antara mereka yang begitu mudah terperangkap dengan pujian masyarakat serta mudah pula tertipu dengan ‘permainan’ Sugar Daddy yang boleh menjanjikan mereka kehidupan mewah, menabur wang ringgit dan segala barangan berjenama.

Beliau menjelaskan, golongan muda kebiasaannya masih dalam fasa belajar, sama ada di kolej dan universiti, amat memerlukan bantuan kewangan jika mahu hidup mewah, dan di sini mereka akan mula terpedaya dengan helah Sugar Daddy (SD) yang diakui berduit dan punya kewangan kukuh.

Berbalik kepada teori yang sama, apabila mereka terdesak untuk mendapatkan pujian orang ramai, mereka akhirnya akan sanggup mengambil jalan pintas dengan cara menjual maruah mereka kepada golongan buaya darat ini.

“Namun untuk perkara ini, saya berlainan pendirian dengan kenyataan kebanyakan Sugar Baby (SB) yang menjelaskan mereka terbabit dengan aktiviti ini kerana bebanan kewangan akibat yuran pengajian yang mahal.

“Pada saya, kenyataan sebegini adalah tidak wajar malahan tidak logik kerana kerajaan dan kebanyakan institusi pendidikan dalam negara menawarkan pelbagai bantuan kewangan seperti biasiswa, pembiayaan pembelajaran, untuk membantu pelajar masing-masing,” katanya sambil menambah, apa sahaja alasan yang mereka guna untuk ‘menghalalkan’ zina melalui platform digital ini adalah tetap tidak boleh diterima akal sihat.

Dr Mohammad Shatar turut berpandangan bahawa semua pihak khususnya golongan ibu bapa perlu terus memperkasa Pendidikan Seks dari dalam rumah lagi, dan bukannya semata-mata meletakkan tanggungjawab itu ke atas pihak pengurusan dan guru di sekolah sahaja.

“Pendidikan Seks sama sahaja pentingnya seperti mana pendidikan formal yang lain, dan kita semua tahu anak-anak lebih banyak masa bersama ibu bapa masing-masing berbanding cikgu mereka di sekolah, jadi sudah tentu ini tanggunjawab bersama.

“Tekankan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, bahagian badan mana yang boleh dan tidak boleh disentuh, lakukan aktiviti dalam bentuk permainan dan pendidikan tidak formal. Sekiranya semua maklumat penting ini dibekalkan kepada anak di peringkat awal lagi, pastinya mereka akan lebih berhati-hati dan berasa jijik untuk menyertai aktiviti SBSD ini,” katanya.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengetahui sebarang perkembangan aktiviti anak remaja mereka menerusi rakan mereka.

“Memantau pergerakan anak secara berterusan pastinya bukan kerja mudah. Oleh itu gunakanlah rakan-rakan mereka sebagai pihak ketiga untuk membantu kita menyiasat aktiviti anak-anak.

“Selain itu pantaulah juga penggunaan gajet mereka. Sekiranya mampu lakukan pemeriksaan mengejut di rumah sewa atau kolej mereka, sekurang-kurangnya kita dapat juga mengenalpasti jenis aktiviti yang mungkin mereka sembunyikan daripada kita,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan SD yang masih belum jumpa jalan bertaubat, agar segera menginsafi diri daripada terus dengan kegiatan jijik mereka.

“Kepentingan diri kita pada akhirnya tidak lagi signifikan berbanding misi membangunkan negara beracuan sendiri dan generasi muda yang bakal memimpinnya.

“Sewajarnya golongan SD ini menjadi contoh dengan menggunakan kekuatan serta kestabilan kewangan mereka untuk membantu masyarakat dan memperkasa generasi muda termasuk anak gadis, itulah yang lebih baik untuk semua pihak,” jelasnya.

Sementara itu, pakar pembangunan sosial dan organisasi, Haikal Zulkefli pula berpandangan isu SBSD sudah lama bersarang dalam komuniti, cuma masyarakat dan pihak bertanggungawab kurang mengambil serius perkara berkenaan.

Beliau menambah, lebih mengharukan ialah masih ramai yang menganggap isu ini sebagai isu picisan dan tidak kurang juga ada yang menghamburkan kata makian terhadap pelaku tetapi tidak pula mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mengekangnya daripada terus berlarutan.

“Secara umumnya kita tahu rata-rata mereka yang terbabit ini adalah mahasiswa yang sepatutnya fokus kepada pelajaran dan menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat selepas tamat pengajian.

“Berdasarkan pengalaman peribadi saya pada tahun 2017, saya pernah berbual dengan seorang kenalan perempuan yang terbabit sebagai SB. Apabila disiasat latar belakangnya, beliau sebenarnya terpaksa membuat sehingga dua atau tiga kerja sekaligus untuk menampung perbelanjaan adik beradiknya yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Haikal yang juga Pegawai Eksekutif Bersekutu, Philandure Sdn Bhd, bukan semua orang bernasib baik untuk memiliki kehidupan yang cukup serba serbi dan untuk itu, adalah penting supaya dibangunkan sistem sosial yang lebih mampan.

Pembangunan sistem sosial ialah bagaimana setiap anggota masyarakat boleh bekerjasama dalam melaksanakan pembangunan jati diri dan maruah yang bermula dengan diri individu itu sendiri.

“Masalah terpinggir begini sebenarnya boleh membawa implikasi besar terhadap masyarakat. Jika dahulu kita lihat aktiviti pelacuran hanya bertumpu di sekitar kawasan lorong gelap, tapi kini mereka lebih interaktif dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit dan zina seolah-olah ‘dihalalkan’ dengan nama Sugar Baby.

“Mungkin mereka tidak melacur badan, tetapi melacur maruah demi wang itu juga satu benda yang salah kerana agama kita sendiri menganggap maruah adalah perkara yang sangat penting,” jelasnya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu