Nation
150

Jabatan Kesihatan siasat insiden pemberian vaksin kepada warga asing

Ipoh – Jabatan Kesihatan negeri Perak mengesan insiden pemberian vaksin kepada warga asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Teluk Intan baru-baru ini termasuk kemungkinan wujudnya kecuaian.

Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan operasi di pusat berkenaan gagal membuat tapisan secara teliti serta justifikasi pemohon untuk mendapatkan vaksin awal.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, pihaknya juga mendapati berlaku ketidakpatuhan dalam proses kerja apabila pihak pengurusan operasi PPV turut menerima warga tempatan yang memohon vaksin awal kerana telah dipanggil balik untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Menurut beliau, mereka ini tidak mendapat tarikh temujanji melalui MySejahtera seperti penerima vaksin Fasa 2 yang lain.

“Secara peribadi saya merasa amat kesal atas kejadian yang berlaku dan akan terus menjalankan pemantauan rapi serta penyeliaan di semua PPV awam.

“Ia adalah bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan mengikut tatacara dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 Kebangsaan,” katanya

Menurut Lay Ming, pihak pengurusan PPV Daerah Hilir Perak komited dalam memastikan hanya golongan yang layak menerima vaksin dalam fasa dua diberikan keutamaan menerimanya.

“Pihak pengurusan PPV telah meningkatkan proses semakan dan penentuan kelayakan menerima vaksin berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan disamping menyediakan kaunter bagi mereka yang terlepas temujanji untuk mendapatkan tarikh baru,” katanya.

Terdahulu tular dalam laman Twitter ciapan seorang pengguna yang mendakwa terdapat seorang doktor menyelit nama penerima vaksin yang tiada dalam senarai di sebuah PPV di negeri ini.

Dakwanya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan mempersoalkan ketelusan doktor berkenaan. — Kosmo Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu