Nation
226

Jabatan Landskap nafi program dihadiri Zuraida langgar SOP

Kuala Lumpur – Jabatan Lanskap Negara (JLN) menafikan program berbasikal yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin di Bukit Kiara, Kuala Lumpur kelmarin adalah aktiviti ‘Fun Ride’.

Ini kerana, menurut jabatan itu aktiviti berbasikal berkenaan tidak dibuka kepada orang awam dan bukan berbentuk kejohanan atau pertandingan dengan kehadiran penonton.

Menurutnya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) am Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertarikh 5 Mac 2021 dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), aktiviti berjogging dan berbasikal adalah dibenarkan.

“Pengunjung berbasikal adalah seramai 30 orang terdiri kakitangan JLN dan SWCORP. Pengunjung berbasikal juga menjalankan aktiviti ‘Plogging’ bersesuaian dengan peranan agensi dalam pembersihan awam.

“Selain itu, pengunjung berbasikal telah dipastikan kesihatannya melalui imbasan suhu sebelum memasuki taman tersebut.

“Pelepasan basikal ini bertujuan mempromosi amalan berbasikal norma baharu dengan sentiasa memastikan penjarakan sosial, memastikan kebersihan diri dan tidak berkongsi peralatan serta sentiasa memastikan keselamatan ketika berbasikal,” katanya JLN menerusi kenyataan.

JLN memaklumkan ketikan penganjuran program terdapat aktiviti senaman dengan penjarakan fizikal menerusi penandaan jarak tiga meter setiap individu untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan kekal di tempat yang ditandakan untuk acara seterusnya.

Katanya, ia adalah merujuk kepada SOP am PKPB iaitu “Aktiviti berkumpulan yang dilakukan secara setempat tanpa sentuhan fizikal dengan had kapasiti 50 peratus daripada kapasiti kawasan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan kawalan penyeliaan”.

“Tempoh untuk bersenam dan berkumpul juga dipendekkan bagi mengelakkan risiko jangkitan.

“Untuk makluman juga, Taman Persekutuan Bukit Kiara adalah kawasan terbuka dengan keluasan lebih 400 ekar dan semua yang hadir perlu menggunakan pembasmi kuman disediakan sebelum bermula acara dan memakai pelitup muka semasa.

“JLNegara sentiasa merujuk dan mematuhi arahan semasa kerajaan berkenaan SOP am PKPB. Pihak Jabatan juga sentiasa memastikan agar pengunjung yang hadir mematuhi terhadap SOP ditetapkan,” katanya.

Kelmarin, Zuraida menerusi Facebooknya berkongsi gambar beliau melepaskan kayuhan basikal dalam Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi di Zon Rekreasi Keluarga Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Perkongsian itu mendapat kecaman orang ramai kerana didakwa tidak mematuhi SOP PKPB melalui penganjuran Fun Ride, dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun RM10,000 seperti dikenakan terhadap rakyat biasa. – Malaysiapost

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu