Kuala Lumpur Post

Nation

‘Jaga diri, jaga kesihatan’ pesan PM kepada penerima bantuan miskin tegar di Labuan

LABUAN — “Jaga diri, jaga kesihatan,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Taibah Mahmud, 83, ketika menyantuni penerima bantuan pada sebuah program bantuan miskin tegar di sini hari ini.

Ibu tunggal kepada enam orang anak itu jelas amat teruja apabila pemimpin nombor satu negara menyampaikan sendiri bantuan berupa barangan keperluan asas kepadanya.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana datang ke sini dan berjumpa dengan kami,” katanya kepada Bernama pada Majlis Menyantuni Ketua Isi Rumah Miskin Tegar Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Perasaan sama turut dikongsikan Supri Mat Husin, 59, dari Kampung Lajau yang teruja dapat bersua muka dengan Anwar pada program itu.

Bapa kepada tujuh orang anak itu berkata Perdana Menteri turut menyampaikan pesanan sama kepadanya agar menjaga kesihatan, apabila beliau memaklumkan menghadapi penyakit kronik sejak dua tahun lepas.

“Kaki pakcik ini kena bisul, ada masalah penyakit kencing manis, mata pun ada kurang terang, jadi saya amat berterima kasih dengan bantuan ini melegakan perasaan saya yang sukar untuk bekerja, ” katanya yang turut ditemani anak serta isterinya.

Bagi nelayan Rasnan Amat, 63, dari Kampung Sungai Butun amat bersyukur dengan bantuan yang diterima dapat meringankan perbelanjaan dapur bagi dirinya yang hanya berpendapatan RM650 sebulan.

“Pakcik cuma nelayan secara kecil-kecilan saja, bawa bot kemudian jual ikan dengan orang kampung atau ada permintaan daripada kawan-kawan,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Seorang nelayan Zaini Zanaiel, 55, dari Kampung Berdaun yang bekerja sebagai penangkap ikan berkata pada Disember yang kini memasuki musim tengkujuh turut mempengaruhi pendapatannya.

Katanya pendapatannya di bawah RM1,000 memang tidak mampu untuk menampung keperluannnya sekeluarga.

“Kalau musim tengkujuh, paling lama dua jam sahaja dilaut, macam sekarang sudah dua minggu tidak turun ke laut,” katanya yang turut menjaga ibunya yang berusia 80 tahun.

Tags: ,