Nation
1K

Jangan buat spekulasi kematian Ganapathy : Polis

Gombak – Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengulas sesuatu kejadian yang masih berada di dalam proses siasatan seperti kes melibatkan mendiang A. Ganapathy.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan berhubung dakwaan mendiang dipukul sewaktu dalam tahanan polis masih diteruskan dan kertas siasatan akan dimajukan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Pada 11 Mac lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah membuka dan menjalankan siasatan atas dakwaan pengadu iaitu ibu kepada mendiang A. Ganapathy yang mendakwa anaknya itu dipukul ketika dalam tahanan sehingga mengakibatkan kakinya perlu dipotong.

“Siasatan berhubung dakwaan tersebut bagaimanapun masih dijalankan kerana maklumat-maklumat penting yang diperlukan untuk siasatan tidak dapat dibekalkan oleh pengadu,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD Gombak di sini hari ini.

Menurut Arifai, rakaman percakapan mangsa juga tidak dapat dibuat sehingga mangsa meninggal dunia susulan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan maka pasukan siasatan sedang meneliti pelbagai sudut bagi mengumpul keterangan.

“Pada 24 Februari lalu, mendiang A. Ganapathy ditahan polis bagi membantu siasatan kes samun kilang serta kes mendatangkan kecederaan dan mangsa juga didapati positif dadah jenis methamphetamine juga amphethamine.

“Turut ditangkap bersama adalah seorang lagi lelaki berusia 45 tahun yang terlobat dalam kes di bawah Seksyen 395/397, 324/342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.

Arifai berkata, pada 25 Februari kira-kira pukul 2 petang pula, keluarga mendiang telah menyerahkan ubat-ubatan miliknya selepas diarahkan berbuat demikian oleh anggota bertugas lokap Balai Polis Selayang apabila mendapat tahu mendiang mempunyai sejarah penyakit jantung dan diabetis.

“Mendiang telah direman 12 hari sehingga 8 Mac dan dalam tempoh tersebut dia telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang sebanyak empat kali iaitu pada 28 Februari serta 3,6 dan 7 Mac 2021.

“A. Ganapathy dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan pada luka lama yang belum sembuh di buku lali kaki kanan yang wujud sebelum tangkapan ke atasnya dibuat,” jelas beliau.

Tambahnya Arifai, pada 7 Mac kira-kira pukul 6 petang pula, mendiang telah ditahan di Zon Kuning, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang dan keesokan harinya Pegawai Perubatan di Zoh Merah Jabatan Kecemasan mengesahkan bahawa kulit kaki kanan mendiang telah mengelupas dan sedang mengalami ‘Necrotizing Fasciits termasuk kesukaran bernafas.

“Lelaki berkenaan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 9 Mac pukul 12.30 tengah malam dan pada pukul pagi Pakar Perubatan Ortopedik mengesahkan bahawa tiada pengaliran darah di kaki kanan mendiang dan keputusan diambil untuk melakukan pembedahan ‘amputated- above knee level’ untuk menyelamatkan nyawanya.

“A. Ganapathy bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad ICU Hospital Selayang selepas dirawat selama 43 hari mulai 7 Mac lalu dan pihak polis turut membuat permohonan untuk melakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya.

Arifai menambah, bedah siasat yang dijalankan Insititut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian adalah ‘Necrotizing Fasciitis of Right Lower Limb Complicated with Sepsis’ namun laporan penuh bedah siasat masih belum diperolehi.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang aduan dipukul dibuat oleh mangsa pada pihak Majistret walaupun telah dibawa menghadap sebanyak tiga kami bagi tujuan reman.

“Pihak Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan yang merawat mendiang juga tiada menerima sebarang aduan dipukul oleh pihak polis,” ujar beliau.

Tambah beliau, siasatan berhubung dakwaan dipukul polis itu bagaimanapun masih diteruskan dan kertas siasatan akan dimajukan ke pejabat TPR dalam masa terdekat dengan cadangan inkues dan sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan. – Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu