Nation
128

Jangan jadikan bantuan Covid-19 mainan politik : MB Perak

Tanjung Malim – Mana-mana pihak boleh tampil menghulurkan bantuan COVID-19 kepada golongan memerlukan tanpa perlu dijadikan modal atau mainan politik, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata mana-mana parti politik sekalipun termasuk badan bukan kerajaan boleh memberi bantuan COVID-19 selagi berkemampuan demi membantu meringankan beban golongan yang terkesan dengan pandemik itu.

“Sesiapa sahaja yang hendak memberikan sumbangan dibolehkan dan tidak terikat,” katanya selepas meninjau kawasan Politeknik Sultan Azlan Shah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 22 Jun.

Beliau berkata keutamaan penyaluran bantuan PKPD di tiga kawasan iaitu Kampung Dato Ahmad Said, Kampung Sungai Tapah dan Kampung Jelapang Baru di Ipoh, diberi kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Mengenai kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan gelandangan yang dilapor di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Bangunan Persatuan Bulan Sabit Merah yang mula beroperasi sejak awal bulan ini, Saarani berkata hanya seorang yang positif COVID-19.

“Kami telah hantar kesemua 46 penghuni yang berkaitan ke Pusat Kawalan dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Ulu Kinta. Pusat itu disanitasi kerana terdapat kes jangkitan, walaupun yang positif itu seorang sahaja tapi kami hantar kesemua 46 orang itu ke PKRC kerana semua dianggap sebagai kontak rapat,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata Perak menjadi negeri kedua tertinggi merekodkan jumlah penduduk yang selesai menerima dos kedua vaksin COVID-19 iaitu seramai 104,742 orang selepas Selangor (145,973). — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu