Social
3K

Jangan pukul orang sesuka hati : Polis

Johor Baharu – Polis menasihatkan orang awam tidak bertindak melulu yang melanggar undang-undang seperti membelasah pemandu yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, orang awam perlu menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan termasuk dalam kes kemalangan jalan raya.

“Kami menasihatkan orang ramai tidak bertindak sendiri sebaliknya menyerahkan kepada polis menjalankan tugas serta mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya di sini.

Mohd Sohaimi mengulas insiden seorang pemandu kereta berusia 18 tahun cedera dibelasah orang awam selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang wanita.

Kemalangan berlaku di persimpangan ke Kong Kong dan Seri Alam dekat Jalan Taman Cendana pada jam 3 petang semalam membabitkan motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Sekumpulan pengguna jalan raya dikatakan bertindak agresif apabila memukul pemandu kereta yang terbabit sehingga cedera di kepala, kaki kanan, patah hidung, tulang pipi, jari manis dan jari kelingking.

Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal perempuan berusia 38 tahun cedera parah pada kepala, kaki dan tangan manakala pemandu kereta tidak cedera.

Mohd Sohaimi berkata, wanita terbabit dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala pemandu kereta dirawat di Hospital Columbia Asia.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, susulan tindakan orang awam memukul pemandu kereta dan beberapa mangsa lain, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata berbahaya sehingga mendatangkan cedera. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu