Nation
328

Jangan rentas negeri sambut Aidiladha : TPM

Kuantan – Orang ramai diingatkan supaya tidak merentas daerah dan negeri untuk menyambut Aidiladha minggu depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pertambahan kes dan kluster akibat rentas negeri ketika menyambut Aidilfitri pada Mei lepas perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

“Rentas daerah dan negeri dalam Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih belum dibenarkan, dan kebanyakan negeri masih berada dalam Fasa Dua.

“Saya harap masyarakat ambil iktibar daripada kejadian Aidilfitiri…meskipun rentas negeri tidak dibenarkan masih ada yang ingkar sehingga kes memuncak naik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai mesej tular rentas daerah dan negeri dibenarkan sempena Aidiladha selepas melawat pusat pemberian vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan lorong-lorong tikus untuk cuba pulang ke kampung.

“Kita boleh lepas daripada polis tapi mungkin tidak lepas daripada jangkitan COVID-19. Justeru, kita jaga kita, buat kawalan kendiri, tolong jangan rentas negeri dan daerah. Jika dah capai imuniti kelompok, mungkin kita dah boleh rentas negeri selepas itu, jadi sabar,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu